PERPUSTAKAAN DESA
Perpustakaan Desa (PD) merupakan salah satu langkah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi memperluaskan perkhidmatan perpustakaan di kawasan luar bandar bagi memupuk nilai membaca dalam kalangan masyarakat setempat. Pendekatan ini adalah bertujuan untuk merapatkan jurang ilmu antara masyarakat bandar dan luar bandar. Selain menyediakan bahan bacaan dan bahan rujukan yang pelbagai, pelbagai kemudahan seperti akses internet percuma, perkhidmatan mencetak dan pelbagai aktiviti melibatkan perpustakaan juga disediakan di perpustakaan desa.
Di Wilayah Persekutuan Labuan, terdapat tiga (3) buah PD yang sedia menyediakan perkhidmatan kepada penduduk setempat juga kawasan sekitarnya. Ketiga-tiga PD ini ditubuhkan oleh PNM dan kini di bawah seliaan Perpustakaan Awam Labuan. Berikut merupakan PD yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan :-
PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG DURIAN TUNJUNG
Mula beroperasi pada bulan Disember 2005 di bawah pantauan dan pengurusan Perpustakaan Awam Labuan. Pada 18 Disember 2005 PD Kampung Durian Tunjung telah menerima lawatan kerja daripada Ketua Setiausaha KTAK iaitu Datuk Dr. Halim B. Shafie bersama 40 orang ahli rombongan, tujuan lawatan ini bagi melihat perkembangan Sistem Universal Services Provider yang telah dibangunkan. Pada bulan Mac 2014 SKMM menyediakan komputer riba 1Malaysia untuk kemudahan pengunjung.
PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG SUNGAI LABU
Mula beroperasi pada pertengahan bulan Januari 2006 di bawah pantauan dan pengurusan Perpustakaan Awam Labuan. Pada permulaan, perkhidmatan perpustakaan ini hanya menyediakan perkhidmatan peminjaman dan pemulangan buku sahaja. Pada bulan Mac 2007, perkhidmatan internet secara percuma disediakan apabila kemudahan ini dibekalkan oleh pihak KTAK secara percuma kepada orang awam. Perpustakaan ini masih beroperasi dan dibuka kepada awam sehingga kini.
PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG LAJAU
PD Kampung Lajau telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah PNM iaitu Y.Bhg Dato’ Raslin bin Abu Bakar pada 9 Disember 2009. PD Kampung Lajau meruapakan PD yang ketiga di WP Labuan selepas PD Sungai Labu dan PD Durian Tunjung. PD Kg Lajau mula beroperasi sepenuhnya pada 4 Januari 2010. Lokasi PD Kg Lajau terletak di dalam kawasan Masjid Jamek Adam, Kg Lajau. PD Kg Lajau ini menggunakan bangunan yang sedia ada dan merupakan bekas Pejabat Sekolah Rendah Agama Islam Kg. Lajau. Penyerahan bangunan pejabat ini kepada PNM telah diserahkan dan ditandatangani sendiri oleh Ketua Kampung Lajau pada masa itu iaitu Ketua Kampung Tuan Hj Sudin bin Omar pada 18 Disember 2008 yang disaksikan sendiri oleh Pustakawan Perpustakaan Awam Labuan, En. Kamal Bin Yan.





